Datuk Red enggan lepaskan Adira

PENYANYI Adira Suhaimi telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya Datuk Seri Adnan Abu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Rawang, hari ini.

Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi, 28, memfailkan permohonan itu pada 1 April lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Ketika disoal Hakim Syarie Mohd Faizal Habib mengenai pendirian Adira mengenai permohonan cerai itu, pelantun lagu Ombak Rindu ini tegas menjawab ‘saya tetap mahu teruskan perceraian ini’.

Datuk Red bagaimanapun membantah permohonan isterinya itu ketika disoal Hakim.

Peguam syarie Mohd Hafiz Abd Rashid yang mewakili Datuk Red memohon prosiding ditangguhkan kerana anak guamnya ingin membuat semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung hakam keluarga.

Mohd Faizal Habib kemudian menetapkan 17 Disember depan sebagai tarikh sebutan hakam kes perceraian itu.

Dalam prosiding itu, Adira diwakili peguam syarie Siti Nur Zafirah Mohd Padzil.

Datuk Red tiba jam 2.50 petang di mahkamah bersama dua rakannya manakala Adira dilihat tiba berseorangan jam 3.05 petang.

Sebelum ini, Datuk Red tidak tahu isterinya akan memfailkan perceraian.

Sewaktu dihubungi semalam, beliau menafikan mengenai isu perceraian itu dengan berkata, ia hanya khabar angin seperti mana ia heboh diperkatakan sebelum ini.

Terdahulu, seawal jam 8.30 pagi, media hadir ke mahkamah untuk mengikuti prosiding perceraian, namun kemudian dimaklumkan Adira bahawa permohonan cerai terhadap Adnan akan berjalan jam 3 petang.

Sepatutnya, prosiding permohonan cerai dilakukan Adira pada jam 9 pagi tadi tetapi penyanyi itu meminta untuk mengubah waktu kerana tidak menyangka perkara itu (permohonan cerai) diketahui umum.

Spekulasi mengenai perceraian pasangan ini timbul apabila ruangan gosip sebuah portal hiburan menyiarkan cerita artis wanita diceraikan ketika sedang hamil anak ketiga.

Adnan, seorang ahli perniagaan menikahi Adira di Songkhla, Thailand sebagai isteri kedua pada 3 Disember 2015.

Hasil perkahwinan, Adira dan Adnan dikurniakan tiga cahaya mata, termasuk puteri yang baharu sahaja dilahirkan dua bulan lalu.

Perkahwinan pertama Adnan dikurniakan lima cahaya mata.

Adnan juga pernah bernikah pada usia 20 tahun, tetapi bercerai selepas lima tahun bersama dan hasil perkahwinan itu dia dikurniakan dua cahaya mata.

 

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

 

 

Sumber:hmetro