Syarat Adam Corrie- Fateh kena kuasai Al-Quran dulu sebelum jadi anak seni

“Sebagai ayah, saya turutkan apa sahaja yang anak mahukan, asalkan membawa dirinya ke arah kebaikan. Begitu juga jika Fateh mahu terbabit dalam industri hiburan.

Saya terbuka dalam perkara itu, tetapi dengan syarat, dia perlu menghafal dan memahami al-Quran dahulu,” demikian kata Pelakon Adam Corrie Lee yang bersikap terbuka jika anak lelakinya, Adam Fateh Lee berusia setahun mahu membabitkan diri dalam bidang lakonan apabila dewasa kelak.

Adam berkata, keizinan itu bagaimanapun, diberi bersama syarat, anaknya perlu menghafal dan memahami isi kandungan al-Quran sebelum melangkah ke dunia glamor.

Beliau percaya, hanya dengan pegangan agama yang kuat, setiap langkah dan tindakan Fateh akan dilakukan dengan penuh berhati-hati. Malah, katanya, mendalami al-Quran juga dapat membantu rakan seperjuangan yang memerlukan bimbingan dan kefahaman mengenai Islam.

“Ilmu sangat penting dalam hidup, malah setiap kali berdepan dengan kemusykilan, kita dapat memberikan jawapan berlandaskan ajaran al-Quran.

Ia secara tidak langsung, mengelakkan diri daripada terpengaruh perkara yang tidak baik. Ke mana sekalipun kita pergi, kita pasti akan berbalik kepada ajaran al-Quran jika diterapkan dengan asas agama yang kukuh,” tuturnya.

Adam atau nama penuhnya Adam Corrie Lee Abdullah, 51, mendirikan dengan Fazema Mohd Fuad, 37, pada 2008 dan dikurniakan Fateh pada 11 Julai tahun lalu.

Adam juga berkata, dia dan isteri turut merancang untuk mendapat anak kedua, namun mereka perlu terlebih dahulu merujuk pandangan doktor.

“Ketika mengandungkan Fateh enam bulan, isteri mendapat da rah tinggi dan kami hampir kehilangan anak sulung. Untuk zuriat seterusnya, jika kesihatan isteri baik dan doktor izinkan, kami akan cuba. Semua itu bergantung pada rezeki. Memiliki Fateh adalah nikmat yang tidak ternilai. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya doa kami mendapat zuriat dimakbulkan,” ujarnya.

 

Sumber: myartis

 

.