10 jururawat terima Myvi hadiah penghargaan dari Sultan Johor

Menerusi Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan 10 kereta PERODUA Myvi kepada 10 jururawat yang bertugas di Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi menzahirkan penghargaan di atas sumbangan serta khidmat mereka kepada Baginda dan juga Keluarga DiRaja Johor.

Penyelia Jururawat, Matron Rokiah Samin yang bertugas di Wad Diraja HSA sejak tahun 2006, melahirkan perasaan syukur di atas kurniaan berkenaan.

“Mewakili mereka yang lain, saya menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Baginda Tuanku Sultan di atas kurniaan ini.

“Besar sungguh nilainya kepada kami semua, dan kami juga sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kesihatan DYMM Sultan Johor serta Keluarga Diraja Johor,” katanya kepada Royal Press Office (RPO) pada hari ini (29 September).

Kenderaan berkenaan disampaikan kepada mereka dalam satu majlis di Kasawari Motors Sdn. Bhd di Larkin, Johor Bahru oleh Pengarah Kasawari Motors, Muhammad Fahmi Bin Datuk Seri Paduka Dr. Hassan.

Salah seorang dari mereka, Nuraini Aziz, 28, yang masih dalam tempoh pantang selepas melahirkan anak pada tiga hari yang lalu tetap menghadirkan diri untuk menerima kurniaan tersebut.

“Kami akan terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada DYMM Sultan Johor dan Keluarga Diraja Johor,” katanya.

Ternyata warga maya turut menzahirkan ucapan terima kasih mereka kepada Sultan yang berjiwa rakyat ini .

 

 

 

Sumber:FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar