Pengeluaran Akaun 1 KWSP secara bersasar diluluskan

Menerusi Belanjawan 2021, kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) daripada Akaun 1 secara bersasar.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang memaklumkan kebenaran secara bersasar itu akan membolehkan ahli KWSP mengeluarkan RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 untuk 12 bulan.

“Pengeluaran ini adalah bagi membantu ahli-ahli yang kehil-angan pekerjaan dan dijangka meringankan beban kewangan kepada 600,000 ahli yang terjejas.
“Mengambil kira kedua-dua inisiatif i-Lestari serta kemudahan pengeluaran Akaun 1 ini, jumlah keseluruhan pengeluaran tunai adalah sehingga RM12,000.

“Diunjurkan keseluruhan bayaran bagi pengeluaran Akaun 1 akan melibatkan RM4 bilion,” katanya pada pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Jelas Tengku Zafrul lagi, ahli yang layak boleh memohon mulai Januari 2021.
Antara inisiaitf lain, Tengku Zafrul berkata, kadar caruman minimum KWSP pekerja turut dikurangkan daripada 11 kepada 9 peratus mulai Januari 2021 untuk tempoh 12 bulan bagi meningkatkan pendapatan boleh guna atau take-home pay.

“Ini akan memanfaatkan pencarum KWSP dengan nilai inisiatif sehingga RM9.3 bilion.

“KWSP juga telah memperkenalkan kemudahan pengeluaran i-Lestari pada bulan April yang membenarkan ahli membuat pengeluaran sebanyak RM500 sebulan, selama 12 bulan dengan jumlah keseluruhan sehingga RM6,000,” katanya lagi.

Skim tersebut ujar beliau telah memanfaatkan 4.7 juta ahli dengan nilai RM11.6 bilion.

 

 

 

 

 

Sumber:Awani