Naik bas sama-sama dari JB ke KL, tiba-tiba Amy ‘sound’ Yazit, ” kalau lu tiipu gua m4ti”

Ditubuhkan pada tahun 1981, tidak keterlaluan jika dikatakan Kumpulan Search, masih relevan sebagai kumpulan rock lagenda negara hingga ke hari ini.

Sekiranya selama ini anda mengandaikan kumpulan ini ditubuhkan oleh penyanyinya, Suhaimi Abd Rahman ataupun, Amy, anda silap.

Seperti yang pernah diceritakan oleh Allahyarham Yazit ketika hayatnya, sebenarnya Search bermula dengan penyatuan Yazit bersama Hillary Ang dan juga Zainal (Rampa).

Kecenderungan sama terhadap muzik rock, selain teruja melihat kejayaan band negara jiran membulatkan tekad mereka untuk merealisasikan halatuju kumpulan yang baru ditubuhkan itu. Maka mereka meneruskan misi dengan mencari anggota lain bagi melengkapkan band mereka yang diberi nama Search itu.

Pada mulanya Hillary mengajak Yazit mencuba nasib di ibu kota untuk bekerja di Red Rooster Club di Medan Tuanku.

Di sana seorang lagi kawan mereka, Zainal, sudah sedia menanti untuk sama-sama berjumpa pengurus kelab berkenaan.

Berbekalkn wang simpanan, Yazit dan Hillary mengambil keputusan menyewa teksi dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur dan berkongsi membayar tambang kira-kira RM140.

Walaupun urusan perbincangan berjalan lancar, tetapi mereka masih berdepan mas-alah, iaitu kontrak belum boleh ditandatangani selagi Search tidak cukup ‘korum’.

” Sampai saja KL, Zainal sudah tunggu kami bersama seorang lagi pemain bes dari Indonesia, Memek. Kontrak pertama kami ‘main’ di kelab itu selama sebulan. Kami ada pinjam pemain bes lain.

“Tiga bulan juga kami ikat kontrak dengan Red Rooster. Namun selepas itu hanya tinggal saya dan Hillary kerana tiada lagi persefahaman. Zainal pula tubuhkan sebuah kumpulan baharu.

” Pengurusan kelab memberikan syarat, kalau kami mahu teruskan kontrak, kami kena cari penyanyi lain. Kami ambil keputusan balik semula ke Johor untuk cari vokalis dan seorang pemain bes.

” Waktu itu duit belanja RM2,000 yang saya bawa sudah habis. Ada tambang balik saja.

” Kami pulang ke Johor pun naik kereta apii,” katanya yang menceritakan mengenai permulaan Amy menyertai Search.

Cerita Yazit lagi, dia tidak tahu Hillary mempunyai perancangan mahu mengambil Amy kerana beranggapan pemain gitar terbabit ingin mengumpulkan beberapa calon lain terlebih dahulu.

Tetapi atas dasar setiakawan, Yazit hanya menurut kemahuan Hillary dan mengaturkan pertemuan bersama Amy.

Menurut Yazit, Amy ketika itu bekerja sebagai penghantar surat dan ada beberapa kali megmbil undangan menyanyi di majlis perkahwinan.

Tidak pernah bergaya rockers, Amy pernah datang ke kenduri memakai baju Hawaii dengan membawa sebuah buku yang diselitkan di ketiaknya.

” Dia ‘mengendeng’ saya minta nyanyi. Saya bagi saja peluang. Terus saja dia buka buku lagu yang dibawanya dan menyanyikan lagu Scorpions”

Selepas nampak kesungguhan dan bakat yang dimiliki Amy, dia kemudian dipelawa menyertai Search, namun penyanyi itu menunjukkan minat hanya selepas ditunjukkan kontrak. Ini kerana beberapa hari sebelum itu, Amy telah mendapat tawaran kerja di Yamaha.

” Saya yakinkan dirinya, kontrak dengan tawaran gaji sebanyak RM900 sebulan bersama rumah sudah ada di tangan.

” Kami bagi tempoh sehari saja dan saya maklumkan, lusa kami tunggu dirinya untuk naik bas MARA di stesen bas jam 1 tengah hari.

” Saya sampai dulu dan beli tiga tiket kerana yakin Amy pasti ikut kami ke KL. Sehinggalah bas nak bergerak, batang hidung dia masih tak nampak.

” Lepas naik bas, saya terus campak tiket Amy ke dalam tong sampah.

” Tiba-tiba, baru saja pemandu masuk gear satu, dari sebelah kanan saya nampak kelibat Amy melambai-lambai sambil memegang beg kertas. Berpeluh dia kejar bas,” ulasnya lagi sambil tersenyum.

Dedah Yazit, beliau juga masih ingat sepanjang lima hingga enam jam duduk di dalam bas, mereka bertiga tidak berbual panjang, seolah-olah masing-masing melayani perasan sendiri.

Apa pun, di pertengahan jalan beliau dan Hillary seakan-akan tersedar daripada lamunan apabila Amy yang duduk di kerusi hadapan mereka berpaling ke belakang, meluahkan rasa hatinya.

” Dia cakap, “Zit (Yazit), lu jangan tiipu gua. Kalau lu tiipu gua m4ti. Gua cakap dengan mak gua pergi Kuala Lumpur tiga hari saja”. Itu yang dia cakap dengan muka sedih.

” Saya pun tunjuk lagi kontrak Red Rooster Club yang belum kami tandatangani. Saya minta dia baca betul-betul. Saya kata, di bahagian bawah sudah siap tulis gaji seorang RM900.

” Dia pandang lagi muka saya dengan Hillary. Saya tahu, dia risau masa depan kami terumbang-ambing di bandar besar, kalau tiada apa-apa kepastian.

” Kemudian, sekali lagi kami bertiga layan perasaan sampailah ke Puduraya,” katanya.

Selepas itu, katanya mereka kembali ke rumah rakan di Zoo View dan mula mengumpul lagu serta berlatih sebelum memulakan kerja di kelab itu dua minggu lagi.

Tidak berapa lama kemudian, beliau mendapat panggilan daripada adik angkatnya, Zai, yang sudah lama tidak ditemui dan itulah permulaan Nasir pula diambil menyertai kumpulan terbabit.

” Zai datang dengan membawa tiga bungkus nasi kandar selepas saya cakap, sudah tiga hari kami bertiga tak makan nasi. Zai ialah teman wanita Nasir yang ada sekali dengannya waktu itu.

” Saya memang kenal Nasir di Johor lagi, tetapi tidak pula saya tahu sudah tiga bulan dia berada di KL. Sebelum balik, Zai, yang tahu kami sedang mencari pemain gitar bes, meminta kami mengambil Nasir.

” Lengkap empat orang, kami meterai kontrak dengan Red Rooster. Ketika mula-mula buat persembahan, pengunjung terkejut sebab masa itu rentak raggae lebih dominan.

” Senarai lagu kami semakin panjang. Kiranya banyak lagu band popular boleh kami bawa. Pengurusan pula bagus.

” Kami dapat gaji seperti dijanjikan dan ramai pengunjung mula membanjiri kelab terbabit,” katanya.

Dalam tempoh setahun, beliau berjumpa kembali kawan sekelasnya ketika bersekolah di Larkin, Nordin, yang menyaksikan persembahannya di kelab berkenaan selain memanggil Man Kidal.

Itu yang saya cakap, Search dikumpulkan oleh saya. Bukan mahu cakap kosong, saya yang cari hampir semua tunjang utama. Nordin pula kata, dia ada gitar di rumah dan berminat menyertai kami.

” Kebetulan pula waktu itu Hillary mahu menjadi pemuzik pengiring (Datuk) Khatijah Ibrahim ke Jerman. Sekali lagi kami terpaksa mencari pengganti.

” Teringatkan Man Kidal, saya dan Nasir balik semula ke Johor Bahru untuk bertemu dengannya. Hari pertama saya ke rumahnya, pengurus beliau ketika itu sudah bagi ama-ran sambil memegang senapang.

” Keesokan harinya kami kembali semula ke rumah keluarganya dan saya nekad merempuh masuk. Ayah Man Kidal yang lama saya kenali bagi restu.

” Dia maklumkan, Man Kidal sudah bertunang, tetapi belum ada duit untuk berkahwin.

” Jadi cepat saja kami ajukan kontrak dan yakinkan rumah juga sudah ada. Ketika itu, pengurusan Red Rooster sudah ada rumah sewa sendiri di Bukit Bandaraya Bangsar,” katanya yang mengakui bermulalah episod kegemilangan Search di kelab terbabit.

Selepas tinggal serumah, katanya, mereka sentiasa berlatih bagi memantapkan skil, malah Nordin juga banyak mendapat tunjuk ajar daripada Man Kidal yang sememangnya sudah popular di dalam kumpulan Lefthanded.

” Boleh dikatakan, setiap malam kelab itu penuh dengan pengunjung. Band terkenal tempatan dan luar negara juga ada singgah di situ. Pada masa sama, ramai penerbit tengok persembahan kami.

” Antaranya Fauzi Marzuki daripada EMI. Selang beberapa hari, (Datuk) M Nasir yang memang kami ketahui sentuhannya dalam Kembara juga datang.

Bagai pucuk dicita ulam mendatang, tidak lama selepas itu, M.Nasir bersetuju untuk menjadi penerbit bagi album pertama Search dan mereka kemudiannya menandatangani kontrak rakaman dengan Polygrams Record, iaitu sebuah syarikat rakaman di Singapura.

Bersama Polygram, Search menghasilkan tiga buah album iaitu Cinta Buatan Malaysia (1985), Langit dan Bumi (1986) dan Mentari Merah Di Ufuk Timur (1987).

Dari situ, nama kumpulan ini terus meningkat naik sehingga beberapa kali menerima anugerah Penyanyi Berkumpulan Paling Popular Berita Harian.

Selepas berlaku sedikit k0nflik dengan Polygram Record, Search beralih pula Pacific Records sebagai label edaran. Mereka juga menubuhkan syarikat rakaman sendiri, Go-Search Sdn. Bhd. serta membuat rakaman album di sini.

Detik fenomena kumpulan Search tercet-us apabila album hit pertama mereka, Fenomena dikeluarkan pada tahun 1989 dengan termuatnya lagu hit mereka, ‘Isabella’.

” Di Malaysia, ia dijual lebih 250,000 unit manakala di Indonesia jualannya mencecah dua juta unit!“- Petikan dari Harian Metro

Selain membuat persembahan live dan jelajah ke seluruh negara termasuk Indonesia, dua buah filem berkaitan mereka turut dihasilkan iaitu filem Fenomena (1990) dan Isabella (1990) yang dibintangi sendiri oleh Amy Search.

Lebih empat dekad mengharungi pahit manis dunia seni,Search juga mengalami peristiwa bagaimana mereka hampir dibubarkan, ahli kumpulan keluar masuk dan silih berganti, namun biarlah ia menjadi lipatan sejarah.

Kisah kumpulan Search ni adalah salah satu contoh bagaimana susah payah sesebuah penggiat seni dalam industri muzik negara.

Al-fatihah buat pengasas bersama kumpulan Search, Allahyrham Yazit Ahmad, semoga roh beliau ditempatkan di kalangan orang-orang beriman.

 

 

Sumber:MJ via Thebolalive