“Lain dulu lain sekarang”

Berbelas tahun dahulu, dua sahabat ini bergabung menghiburkan orang ramai sebagai penyampai radio di stesen radio Era FM dari tahun 1998 hingga 2003.

Kemudiannya mereka bergabung pula membentuk duo yang dikenali sebagai Khafi dan menghasilkan album berjudul Satu Jengkal pada 2006.

Siapa sangka selepas 15 tahun, gandingan serasi ini sekali lagi bekerjasama menerusi medium yang lebih besar pula iaitu menubuhkan Hidayat TV.

Begitulah hebatnya jihad buat dua sahabat karib,Khairil Rashid (Krill) dan Faizal Ismail (FBI). Selepas kembali ke fitrah, KRILL dan FBI berazam mendidik masyarakat dengan mesej ketuhanan menerusi Hidayat Tv.

Krill berkata, Hidayat TV bersiaran menerusi Facebook dan YouTube dan pelancarannya telah dibuat pada 4 September lalu.

“Kami menyedari perlunya sebuah saluran media digital yang fokus untuk membawa mesej kerohanian dan kebaikan kepada masyarakat.

“Sudah tiba masanya untuk kami manfaatkan segala ilmu dan pengalaman kami dalam bidang penyiaran menerusi Hidayat TV,” katanya.

Menurutnya, antara program yang sudah dirancang untuk peringkat awal Hidayat TV adalah kisah pengalaman masyarakat yang melalui cabaran dalam mencari kebaikan dan kerohanian.

“Selain itu, Hidayat TV juga akan menyingkap kisah teladan dari sirah Nabi serta wawancara bersama selebriti yang membuat keputusan untuk melakukan perubahan hidup.

“Untuk permulaan, Hidayat TV hanya bersiaran secara langsung setiap Sabtu, jam 9.30 malam dan akan dikendalikan oleh kami berdua,” katanya.

Sementara itu, majlis pelancaran Hidayat TV yang membawa tajuk Hidayat Milik Allah diserikan dengan penampilan selebriti dan pendakwah antaranya Ustaz Ahmad Farkhan, Nabil Ahmad, Mel Wings, Bagio Damasutra, Datuk Nash, Ijam Medicine dan Nabil Ahmad.

Sementara itu, FBI mengakui terkejut dengan jumlah tontonan di luar jangkaan iaitu sebanyak 11,000 tontonan.

“Saya amat bersyukur kerana sambutan sangat baik untuk siaran sulung. Namun, banyak penambahbaikan perlu dibuat untuk siaran akan datang terutama dari segi teknikal.

“Halangan utama adalah liputan internet di tempat yang berbeza yang sukar dijangka untuk setiap orang yang menjayakan siaran ‘live’.

“Hidayat TV juga berharap lebih ramai lagi akan menyertai kami dalam siaran ‘live’ yang akan datang dan menyumbang kepada tabung infaq untuk aktiviti amal yang bermula Oktober depan,” katanya.

FBI berkata, memandangkan ia baharu pertama kali bersiaran, maka adalah tepat jika dikatakan saluran program berbentuk kerohanian seperti ini perlu ada untuk ditonton masyarakat.

“Seiring dengan kehebatan teknologi dan kehidupan serba moden masa kini, masyarakat perlu diseimbangkan dengan pengisian di dada dengan ilmu kerohanian.

“Kami turut bersyukur dan gembira kerana ramai selebriti tanah air turut serta menjadi penonton sebagai tanda sokongan.

“Antara tarikan Hidayat TV adalah pembabitan orang ramai yang akan diajak bersama untuk berkongsi cerita dan pengalaman penghijrahan dalam perjalanan hidup yang penuh suka duka,” katanya.

Menurutnya, sokongan yang tidak berbelah bahagi dari penonton untuk mereka akan mampu membawa Hidayat TV menjadi satu saluran media digital yang hebat dan penuh informasi.

 

 

 

 

Sumber:HM