Seorang ibu hanya mahukan yang terbaik untuk anaknya. Begitu juga dengan pelakon dan penerbit drama, Datuk Ziela Jalil yang nekad melepaskan anak bongsunya yang baru berusia 10 tahun belajar di sebuah sekolah agama di Yaman.
Ziela berkata, dia menyedari Ibrahim terlalu muda untuk merantau, namun, dirinya berpegang teguh kepada pendirian melentur buluh biarlah daripada rebungnya.
“Saya bersama rakan-rakan pernah dijemput berkunjung ke rumah seorang guru agama di Yaman, tiga tahun lalu. Kediamannya turut dijadikan pusat pengajian agama dan saya sangat menyukainya.
“Dari situ, saya tertarik dan berhasrat untuk menghantar Ibrahim. Bagaimanapun, pada masa itu, Ibrahim baru berusia 7 tahun.
“Ramai rakan-rakan menasihatkan saya memandangkan Ibrahim terlalu muda untuk belajar di luar negara.
“Bagaimanapun, kali ini Allah gerakkan hati saya dan nekad menghantarnya bersekolah di sana. Dengan usianya masih muda, saya rasa ini adalah masa terbaik untuk Ibrahim mendapat asas agama yang kukuh,” katanya seperti dipetik BH Online.
Ziela yang juga pemilik syarikat produksi, Pena Creative Pictures Sdn Bhd itu, pemergian Ibrahim turut ditemani anak keduanya, Megat Jufri Nasrullah pada Khamis lalu.
“Ibrahim pergi ke Yaman bersama abangnya, Megat Jufri. Secara kebetulan, Megat Jufri juga akan mengikuti pengajian intensif agama di sekolah yang sama selama 40 hari.
“Bagaimanapun, Megat Jufri akan berada di Yaman untuk menemani adiknya selama tiga bulan. Saya juga terharu dan bersyukur kerana pemergian Megat Jufri atas kehendak sendiri yang mahu memperkukuhkan pengetahuan agama,” luah pelakon filem Perawan Malam ini.
Berkongsi perasaan terpaksa berpisah dengan anak-anaknya, ibu yang berusia 52 tahun ini meng_kui dia tidak dapat menahan rasa sedih disebabkan mereka tidak pernah berenggang dengan anaknya sebelum ini.
“Mula-mula rasa macam kuat, tetapi balik sahaja dari lapangan terbang dan masuk ke dalam rumah, saya terus menangis. Lebih lagi, apabila mengenangkan Ibrahim sengat rapat dengan saya.
“Bagaimanapun, saya bersyukur perjalanan Megat Jufri dan Ibrahim dipermudahkan Allah. Doa saya semoga yang baik-baik sahaja buat mereka,” ungkapnya dalam nada sebak.
Sempena sambutan Aidiladha juga, Ziela memaklumkan, dia juga membuat ibadah k0rban di institusi pengajian agama tempat anak-anaknya belajar.
“Tahun ini, saya korbankan lapan ekor kambing mewakili jumlah anggota keluarga termasuk saya, suami, anak, menantu dan dua cucu.
“Di sana makanan kegemaran adalah kambing. Rasa puas apabila dapat berkongsi rezeki dengan mereka yang kurang berkemampuan,” ujarnya.
Sumber:BH