“Ada cara nak tegur” – Joe Flizzow

Siapa yang tidak kenal dengan rapper popular ini. Mula mencipta nama dengan kumpulan duo Too Phat, Joe Flizzow atau nama sebenarnya Johan Ishak berasa beruntung kerana dibesarkan ibu bapa yang sangat menitikberatkan soal jati diri, terutama dalam aspek penguasaan bahasa, terutama bahasa Melayu.

SEPERTI ungkapan yang sering dilaungkan, ‘bahasa jiwa bangsa’, perihal tersebut jugalah yang menjadi penekanan ikon muzik rap tersohor, Joe Flizzow walaupun bahasa Inggeris kini menjadi bahasa ‘cari makan’ di mana sahaja.

Hasilnya, walaupun pernah membesar di England atas tuntutan kerjaya keluarga, dia tidak pernah melupakan asal usulnya sebagai seorang anak Malaysia yang berbangsa Melayu.

Dia berdiri sebagai seorang pemain seni muzik yang mempunyai keseimbangan dua bahasa utama negara ini; bahasa Melayu dan Inggeris.

Atas asas tersebut, pelantun lagu Apa Khabar itu menitipkan pesanan kepada orang ramai yang mahu mahir berbahasa Inggeris agar tidak berhenti berusaha dan tidak berasa diperlekeh andai melakukan kesilapan.

“Kita selalu dengar, jangan gelakkan orang yang tak mahir berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Tapi perkara itu berlaku dalam masyarakat kita.

“Kalau kalian pergi melancong di luar negara. Itali misalnya. Mereka bercakap Inggeris pun berterabur. Masyarakat kita sahaja yang sibuk fikir gaya, aksen nak cakap sama macam Mat Salih.

“Lainlah kalau dalam majlis atau konteks formal, ada orang buat silap (cakap Inggeris), kita boleh tegur tapi janganlah sampai gelakkan,” katanya lagi.

Secara peribadi, Joe ada pendekatan tersendiri andai berdepan kenalan terdekat atau pekerja yang tersalah menggunakan bahasa Inggeris.

“Saya akan tarik tepi dan betulkan. Saya buat begitu dengan niat untuk sama-sama memperbaiki diri. Bukan untuk jadi lebih bijak atau rasa diri paling ‘Inggeris’.

“Saya pun masih belajar. Kalau tulis lagu baik dalam bahasa Melayu atau Inggeris, saya selalu dapatkan khidmat nasihat daripada ibu saya yang merupakan seorang bekas penulis. Dia selalu betulkan kesalahan saya,” ujarnya.

Diajak berbicara tentang kemungkinan kembali berkolaborasi dengan sahabat ‘lamanya’, Malique, Joe menegaskan  bahawa perkara itu tidak akan berlaku dalam waktu terdekat.

 

Katanya, dia dan Malique sudah berada di dua landasan muzik yang sangat berbeza, namun Joe sangat menghormati lelaki tersebut.

“Semuanya (Too Phat) sudah menjadi kenangan yang terindah yang takkan dilupakan. Bab perjalanan muzik kami sekarang sudah berbeza.

“Saya tak nafikan yang Malique merupakan antara manusia paling berbakat pernah saya jumpa.

“Dia seorang rapper, penulis lirik dan penerbit yang unggul,” ungkap Joe.

Bagaimanapun, kata Joe, dia mempunyai sebuah trek Too Phat yang belum sempat dilancarkan dan tidak mustahil akan dikongsi kepada para peminat.

“Ada sebuah lagu yang belum dilancarkan Too Phat di dalam komputer peribadi saya. Kawan-kawan rapat saya dah dengar dan mereka kata kalau diterbirkan, memang gempak.

“Tapi entahlah, nak terbitkan atau tidak. Karya saya sekarang semua bersifat organik. Susah nak realisasikan sesuatu dengan dia (Malique) kalau tiada interaksi dan tak berjumpa di studio rakaman,” luahnya.

 

 

 

 

 

Sumber:Mykmu