Niat asal nak ‘cover’ rambut rosak, Mila bersyukur Allah tetapkan hati terus kekal berhijab

Setelah sekian lama menyimpan rahsia,
penyanyi dan usahawan, Mila Jirin akhirnya membuka cerita pada awal penghijrahannya menutup aurat, adalah bagi menutup rambutnya yang rosak teruk kerana sering didandan.

Namun, lama-kelamaan, hati penyanyi lagu Persis Mutiara itu terbuka untuk terus mengenakan hijab hingga hari ini.

“Pada 2014, rambut saya rosak teruk kerana kerakusan sendiri. Disebabkan suka menukar gaya dandanan rambut, sekejap kerinting, lurus balik dan macam-macam lagi, rambut saya akhirnya rosak. Padan muka.

“ Saya bersyukur disebabkan mahu melindungi rambut yang rosak, ia menjadi asbab untuk saya bertudung,” katanya di Instagram.

 

Juara program realiti Akademi Fantasi 5 itu juga bersyukur kerana Allah menetapkan hatinya untuk terus kekal berhijab meskipun pada awal niatnya berhijab disebabkan perkara lain.

“Alhamdulillah, Allah betulkan niat saya untuk menutup aurat kerana memenuhi suruhan-Nya.

Sebelum ini, saya bukan tidak tahu bertudung itu wajib bagi wanita Islam, cuma waktu itu saya buat-buat tak tahu” tuturnya lagi.

Menjengah di ruangan komen, warganet menitipkan pujian selain mendoakan yang baik-baik buat penyanyi berkenaan agar terus kekal istiqomah.

 

Sumber:Utusan