Vokalis kumpulan nasyid Saujana, Dr Idzu Baharin kembali menyanyi selepas 16 tahun

Pernah mencipta fenomena menerusi lagu Sepohon Kayu bersama kumpulan nasyid Saujana lebih 25 tahun lalu, tidak dinafikan lagu berkenaan masih malar segar sehingga  ke hari ini.

Kumpulan Saujana berjaya mengumpul kelompok peminatnya sendiri sama seperti kumpulan nasyid popular yang lain seperti Raihan dan Hijjaz.

Namun seperti artis lain yang ada pasang surutnya,ahli kumpulan Saujana kemudian berehat dari industri muzik dan membuat haluan masing-masing.

Kini setelah 16 tahun berlalu,  vokalis kumpulan Saujana, Idzu atau Khairul Idzwan Baharin,41, kembali mewarnai industri muzik menerusi single ‘Ku Serah hasil ciptaannya bersama komposer Ahmad Jeffny.

Masih dengan konsep lagu ketuhanan, Ku Serah diletakkan sedikit elemen R&B , sesuai dengan kehendak semasa.  

 Walaupun telah bergelar doktor, menurut Idzu, minat dan cintanya terhadap bidang nyanyian tidak pernah padam. Malah, kerjaya yang pernah menaikkan namanya suatu ketika dahulu dilihat masih relevan seiring dengan empayar perniagaannya, Cell Tissue Technology Sdn Bhd.

“Boleh katakan sibuk dengan kerja sampailah saya masuk ke dalam bisnes pula. Minat dalam nyanyian itu masih lagi ada cuma aktif macam zaman dulu dah tak ada dah. Tetapi sekarang sejak saya pun dah aktif dalam bisnes, masa itu ada. Jadi bolehlah saya aktif semula dunia nyanyian.

“Masih lagi ada yang ingat dan tanya bila nak keluar single dan album baru serta bila nak buat ‘comeback’. Bagi saya ini adalah hobi yang serius juga. Ia bukanlah kerjaya utama tapi hobi yang serius dan saya suka untuk buat.

“Perkara ini boleh berlaku serentak. Disebabkan itu saya keluar dengan single terbaru selepas 16 tahun. Ia adalah lagu ketuhanan tapi tak ada ‘hardcore’ nasyid sangat. Lebih kepada santai dan masih pop dengan elemen R&B sikit. Cuma ia bukanlah nasyid.

“Sebelum ini pun saya ada keluarkan beberapa single juga. Cuma tak ada syarikat di belakang saya. Ia lebih kepada nak berseronok saja dalam fasa yang begitu sibuk pada waktu itu. Sekarang dah ada pengurusan saya sendiri dan Universal Music Malaysia pun dah ambil hak pengedar.

“Saya pun dah ada produksi dengan Kharisma Music yang jaga dari segi muzikal dan produksi. Kiranya ia akan lebih teratur selepas ini,” katanya.

Menurut Idzu Baharin, kemunculannya dengan kembali aktif  tidak hanya untuk mengejar kemasyhuran semata-mata, tapi ingin berkongsi karya kepada peminat yang setia bersama dirinya dan Saujana termasuk generasi baru yang mula mengenali mereka.

“Umur saya pun dan lebih 40 tahun. Jadi, bukan lagi untuk kemasyhuran tetapi lebih untuk berkongsi karya dan berjumpa dengan peminat baru yang kenal saya menerusi media sosial.

Waktu itu mungkin mereka belum lahir atau masih kecil. Jadi mereka belum kenal sangat saya.

“Bila saya muncul di media s0Sial mereka berminat untuk lebih mengenali saya. Lagu-lagu masih lagi popular dan mereka pun diajar dengan lagu-lagu kami semasa di sekolah. Mereka rasa dekat tapi tak pasti siapa orang di sebaliknya.

“Ini adalah kelompok peminat baru yang saya mula nak kenal sejak aktif dalam media sosial,” katanyq yang baru saja selesai rakaman video muzik Sepohon Kayu (remake) bersempena ulang tahun Saujana yang ke-25 tahun.

Sementara itu, Idzu Baharin berkata penghasilan lagu Ku Serah lebih kepada mahu mengajak peminat mengimbau kembali perjalanannya sebagai anak seni ketika mula bersama Saujana.

“Lagu ini sebenarnya macam ‘ad-hoc’ saja. Kebetulan saya baru meraikan hari jadi, saya rasa macam lebih matang sekarang. Kematangan itu membuatkan saya rasa macam nak selesaikan beberapa perkara. Bila dah semakin berumur ini sudah tentu perasaan itu lebih kepada nak memperbaiki diri.

“Saya lebih nak memberi motivasi kepada pendengar. Saya selitkan mesej positif daripada ‘cintan-cintun’ ini.

Tapi cinta itu juga bersifat universal bukan hanya antara lelaki dan perempuan tapi antara kita dengan cita-cita atau kehidupan kita.

“Lagu Ku Serah kali ini lebih kepada pengikut yang lama dan kenal saya sejak pertama kali keluar bersama Saujana. Mereka rindukan sesuatu yang baru tapi tak nak ia lari daripada diri saya yang dulu.

“Saya rasa genre ketuhanan ini sesuai untuk mereka mengimbau balik kenangan lama sebab ramai yang datang balik pada saya dan cakap mereka membesar dengan lagu-lagu Saujana. Suara saya agak signifikanlah untuk kenangan masa kecil mereka,” katanya lagi.

 

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

Sumber: MH