Setiap pertemuan pasti ada perpis4han. Pemergian bintang popular 80an, Aman Shah semalam kerana komplikasi jantung menyingkap semula kisah cinta agung seorang wanita terhadap penyanyi itu.
Perkara itu tidak lain dikongsikan oleh anak Allahyarham sendiri,penyanyi dan komposer dari Singapura, Afrah Athasha, 24, yang bersyukur dapat bertemu arwah bapanya, Allahyarham Aman Shah pada majlis pertunangannya di Singapura pada 3 September lalu selepas hampir 20 tahun terpisah.
Biarpun, ia menjadi pertemuan terakhir, Afrah atau nama pentasnya, Zalelo tetap berpuas hati dapat memperkenalkan tunangnya, selain mempertemukan semula ibu dan arwah bapanya.
Afrah adalah anak bongsu daripada tiga adik-beradik menerusi perkahwinan kedua arwah Aman Shah bersama vokalis kumpulan duo, The Queens dari Singapura, Farah Diba Abdul Aziz.
Cerita Afrah, arwah pertama kali bertemu dengan ibunya ketika menyertai program hiburan, Pusparama di Singapura yang turut membuat persembahan.
Setahun berkenalan, Farah Diba berasal dari Bedok, Singapura ditunangkan bersama arwah pada usia 14 tahun.
Mereka bercinta selama enam tahun dan akhirnya, Aman Shah dan Farah Diba bernikah gantung pada 21 Disember 1986 di Jelebu, Negeri Sembilan.
Namun, perkahwinan kedua buat penyanyi kacak itu hanya mampu bertahan kira-kira empat tahun.
Tambah Afrah lagi, “Hubungan arwah dan ibu, Alhamdulillah baik-baik sahaja. Sehingga saat ini, ibu tidak pernah berkahwin lain.
“Apa yang saya tahu, arwah adalah cinta pertama dan hanya satu-satunya lelaki dicintai ibu.
Afrah turut meluahkan rasa bersyukur kerana sempat meluangkan masa selama 5 hari bersama bapanya serta mempertemukan semula ibu serta bapanya setelah sekian lama tidak berjumpa.
“Banyak hikmah di sebalik pertemuan ini, segala-galanya sudah Allah atur. Hubungan kami semakin akrab,” katanya lagi.
Afrah berkata, dia dan arwah dipertemukan semula terlebih dahulu, pada tiga tahun lepas.
“Hubungan saya dan arwah kembali rapat sejak 2019. Namun, kami tidak sempat bertemu selepas penularan pan-demik COVID-19, tidak lama kemudian.
“Selalunya, kami hanya berbual menerusi panggilan video, tetapi saya tak puas. Alhamdulillah, arwah hadir pada majlis pertunangan saya di Into The Woods@213 Lavender Street, Singapura,” katanya yang ditemui pada majlis pengebumian arwah Aman Shah, semalam.
Katanya, dia dan arwah banyak berkongsi cerita, apatah lagi, mengejar impian sama bergelar anak seni.
“Kami berkongsi impian sama. Saya suka menyanyi dan berlakon seperti arwah.
“Mulanya, arwah agak bimbang sekiranya saya tidak boleh menempuh hidup sebagai anak seni. Ini disebabkan arwah sendiri melalui banyak kisah baik dan buruk sepanjang bergelar artis.
“Bagaimanapun, saya dapat membuktikan boleh menjaga diri dan tidak terkesan dengan dunia glamor yang menguasai diri,” katanya.
Afrah menambah, arwah juga menitipkan banyak nasihat buatnya.
“Arwah menyokong kerjaya seni, malah, kami merancang berkolaborasi menerusi lagu Kepulangan Yang Di Nanti apabila saya memasuki pasaran di Malaysia.
“Namun, nampaknya tidak sempat. Saya akan selalu ingat pesanan arwah agar pandai menjaga diri, jangan memalukan keluarga dan sentiasa menjadi manusia baik.
“Saya tahu dunia glamor boleh mengubah manusia, tetapi pesanan arwah menjadi panduan hidup saya,” katanya.
“Saya tahu arwah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk menjalani pembe-dahan memasang kateter belon atau sten, semalam (kelmarin).
“Namun, saya tak sangka keadaan arwah tiba-tiba menjadi kritikal. Ini kerana kami sempat bergurau, arwah beritahu nak balik cepat dan makan sedap-sedap.
“Namun, saya terkejut mendapat panggilan meminta saya dan adik-beradik datang segera. Tetapi, arwah pejam mata ketika saya masih dalam penerbangan. Apabila tiba di Kuala Lumpur, telefon saya berdering tidak henti.
“Walaupun tidak berada di sisi arwah sebelum menghembus nafas terakhir, tetapi saya dan abang tetap bersyukur dapat menatap wajah arwah buat kali terakhir,” katanya.
Terdahulu, jenazah pelakon filem Darah Satria itu dibawa ke Masjid Al-Mukhlisin Alam Damai, Cheras untuk penghormatan terakhir, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, jam 10 malam tadi.
Allahyarham Aman Shah, 68, menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), jam 2.20 petang, semalam.
Dilahirkan di Johor Bahru, penyanyi yang dikenali menerusi lagu Adikku Pandai Menari itu meniggalkan enam cahaya mata menerusi tiga perkahwinannya.
Sumber:BH