Sumbangan buat Bilal di luar jangkaan

“Terima kasih buat semua yang menyumbang, rakyat Malaysia memang bagus dan prihatin,” kata Mohammad Azhar Arzemi, bapa kepada kanak-kanak penghidap Alobar Holoprosencaphly iaitu kec4catan tempurung kepala, Mohammad Bilal Yusra.

Mohammad Azhar berkata, selepas tersiarnya kisah anaknya yang berusia dua tahun dua bulan itu di akhbar, ramai yang memberikan sumbangan dan sumbangan terkini yang diterima telah mencecah RM15,000.

Ujar Mohammad Azhar lagi, jumlah sumbangan diterima di luar jangkaannya dan mengakui terharu dengan keprihatinan masyarakat kerana sudah lama tidak dapat bantuan sebanyak itu.

“Saya ada semak akaun tadi dan terkejut dengan jumlah sumbangan diterima kerana amat banyak.

“Terima kasih banyak saya ucapkan buat penyumbang atas keprihatinan terhadap Bilal (nama gelaran) dan keluarga saya.

“Hanya Allah saja dapat membalasnya. Sumbangan itu akan digunakan untuk membeli barangan keperluan Bilal dan belanja barang rumah,” katanya ketika dihubungi.

Berkongsi perkembangan Bilal, Mohammad Azhar berkata, anak bongsunya itu muntah hari ini.

“Badannya mungkin tidak sedap dan harap ia tidak berterusan.

“Saya dan isteri seperti biasa akan memantau keadaannya,” katanya.

Bilal yang menghidap kec4catan tempurung kepala semakin kronik dan berada pada tahap akhir malah kepalanya juga semakin membesar dengan kini mencapai berat 28 kilogram (kg).

Sumber:HM