Buat comeback selepas 17 tahun menyepi, Ruhil Amani kekok masih dipanggil ‘Adik’

Buat peminat seni tempatan era 90an, pasti masih mengingati penyanyi manis yang bersuara serak serak basah ini.

Dikenali dengan lagu “Kawan”, oleh kerana dia diantara penyanyi termuda di Malaysia ketika itu, maka peminat seni tempatan menggelarkan dirinya Adik.

Tetapi siapa sangka , walaupun kini penyanyi Ruhil Amani Hussain telahpun berusia 47 tahun, dia mengakui masih ada yang memanggilnya dengan panggilan ‘Adik’ sehingga dia berasakan sapaan itu semacam tidak sesuai atas faktor usia dan statusnya sebagai ibu.

Ruhil ketika ditemui berkata,
“Perkataan ‘Adik’ dengan saya memang melekat sampai sekarang. Sejak dari dulu, tak pernah berubah. Saya terus dipanggil Adik’ oleh mereka yang rapat dan mengenali termasuk peminat juga. Hinggakan, saya sendiri rasa macam dah tak sesuai sebenarnya.

“Malah, bagi mereka yang usianya muda daripada saya akan panggil ‘Kak Adik’ pula. Jadi perkataan ‘Adik’ itu dah sinonim dengan saya kerana mereka memang selesa memanggil begitu,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan dan rakaman program Salam Dari Maya 2 yang lalu.

Mengulas mengenai karier nyanyiannya, Ruhil yang menyepi selama 17 tahun kerana menguruskan keluarga berkata, dia kini dalam proses menghasilkan sebuah single baharu padan tahun depan dan mahu berkongsi karya lagu yang segar dengan peminat setianya.

“Saya lebih memilih berkongsi lagu baharu dengan peminat berbanding merakamkan semula lagu lama seperti Kawan, Anak Dunia dan sebagainya. Bagi saya, lagu baru lebih indah. Apatah lagi, saya ada 13 buah koleksi lagu baharu dalam simpanan.

“Semua lagu ini kena dengan jiwa dan sesuai vokal saya. Jadi, sayang juga kalau tidak dirakam dan terus disimpan,” katanya yang kini aktif bersenam dan dalam proses menurunkan berat badan ke tahap ideal.

Ruhil berkata, dia perlu komited jika mahu membuat ‘comeback’ dalam industri muzik walaupun selama ini masih tetap menyanyi dan membuat latihan vokal di rumah.

Katanya, selama ini dia hanya tidak muncul dalam program hiburan di televisyen saja.

Ruhil menyepi dari industri muzik selepas bernikah dengan pemain gitar, pencipta lagu, penerbit album dan penggubah, Jamie Wilson.

Hasil perkongsian hidup itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ruhil Ariana Wilson, 18, dan Raayan Alexander Wilson, 11.

Sumber:HM