Awie sambut ulang tahun ke-54 di Mekah, bakal berehat panjang selepas pulang dari umrah

PASTINYA sambutan ulang tahun kelahiran penyanyi rock legenda Wings, Datuk Awie pada tahun ini memberi momen terindah buatnya apabila buat pertama kalinya ia diraikan oleh rakan-rakannya di Tanah Suci Mekah.

Menerusi perkongsian di Facebook Maulana Helmi, Awie turut diraikan oleh jemaah lain termasuk anggota Wings yang turut mengerjakan ibadah umrah bersama sejak 16 November lalu.

Rockers lagenda itu memanjatkan rasa bersyukur kerana pada usia 54 tahun, dia dapat merakamkan memori istimewa dengan menyambut hari lahirnya di Mekah.

“Terima kasih banyak-banyak. Syukur dalam banyak-banyak tempat, kita ditemukan di Mekah al Mukarramah ini.

“Saya sangat-sangat gembira dan terima kasih Datuk Mat yang merealisasikan impian ini untuk membawa bersama sahabat dunia akhirat saya, Wings. Terima kasih banyak-banyak kerana mempercayai saya,” katanya dengan nada ceria.

Awie memaklumkan di awal pembabitan dalam bidang seni, dia dan Sham menubuhkan Wings dengan rock & roll.

“Tapi di akhir-akhir penghujung ini kita tubuhkan satu kumpulan baru lagi ‘Wings On Fire’ pergi umrah. Terima kasih banyak-banyak sebab doa-doa semua,” ujarnya.

Terdahulu, Wings mengumumkan bakal berehat panjang sebaik pulang dari mengerjakan umrah dan akan menyusun semula jadual seni selepas Aidilfitri, tahun depan.

 

 

Walau bagaimanapun, mereka akan beraksi buat kali terakhir menerusi Konsert Wings Ceritera Rakyat yang akan berlangsung di Padang Timur, Petaling Jaya pada 3 Disember ini sebagai penutup 2022.

Konsert terbabit diadakan sempena malam kemuncak Festival Folklore Antarabangsa Petaling Jaya (PJ Folklore) anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang bermula 28 November hingga 4 Disember ini.

 

 

 

 

 

Sumber:URTV