“Pertama kali saya dapat hadiah sebesar ini”- Bell Ngasri

Akhirnya pemenang Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke- 35 (ABPBH35), Bell Ngasri boleh tidur lena selepas menerima kereta jenama Mini Cooper Clubman tajaan syarikat kenderaan DTC Motors pada pagi Isnin.

Bell atau nama Ngasrizal Ngasri, 43, berkata dia terlalu gembira kerana ini merupakan pertama kali dia menerima hadiah mewah.

Malah, Bell memberitahu dia tidak boleh tidur lena kerana terlalu teruja memikirkan mengenai hadiah berkenaan.

“Saya tak tahu nak cakap, ini pertama kali saya dapat hadiah sebesar ini. Dapat kereta apa pun saya tetap seronok sebab ia percuma. Kalau DTC Motors bagi saya Kancil pun saya seronok.

“Tapi dia bagi saya kereta ini (Mini Cooper)… memang saya suka!

“Semalam seharian saya di Pulau Pinang, balik malam itu saya tak boleh tidur sebab terlalu berdebar… dapat tidur sejam dua mengigau pula,” katanya.

Bell berkongsi perkara itu semasa penyerahan kereta di DTC Motors yang berlangsung di Ampang, Kuala Lumpur.

Kereta mewah tersebut diserahkan oleh pemilik DTC Motors, Afendy Wahid turut diiringi penyampai radio Hot FM iaitu Khairy Jamaluddin.

“Alhamdulillah ini kereta idaman saya selama ini. Ini semua kuasa dan anugerah Allah. Terima kasih banyak.
“Anugerah ABPBH35 adalah anugerah terbesar yang pernah saya terima dan bertambah dasyat bila dapat sebuah kereta,” ujarnya.

Afendy turut memaklumkan hadiah yang diterima Bell itu bernilai RM200,000 yang mana termasuk jaminan serta tambahan aksesori.

Kata Afendy, hasrat untuk menaja Bell berlaku secara spontan selepas melihat tiada sebarang pihak berbuat demikian.

Dia turut merasakan pelakon dan pelawak itu layak menerima hadiah tersebut.

Pada 21 Julai lalu, Bell atau Ngasrizal Ngasri, 43, mencipta sejarah apabila menerima trofi berkenaan selain memenangi kategori Artis Komedi Popular.

Ia merupakan pencalonan kali pertama Bell menerusi anugerah itu sejak bergelar pelakon 37 tahun lalu .

Tahniah Bell!

 

 

 

 

 

Sumber:mst4r