Batal majlis nikah, Syafiq ‘senyap’, Mimi Lana tutup ruangan komen

Berbaki lagi seminggu bakal bergelar raja sehari, majlis pernikahan pasangan artis iaitu Syafiq Kyle dan Mimi Lana yang dijadualkan berlangsung pada 18 Ogos depan di Puncak Rimba, Bentong, Pahang dibatalkan.

Perkara itu disahkan oleh wakil pengurusan artis berkenaan iaitu Iman Tang dalam satu mesej ringkas yang dihantar kepada tetamu dan jemputan khas.

Mesej pembatalan itu dikirimkan melalui agensi pengurusan jemputan artis yang dilantik.

“Saya dan pihak pengurusan ingin mengumumkan bahawa majlis pernikahan dan resepsi Mimi Roziana dan Muhammad Syafiq Shamim yang dijadualkan 18 Ogos 2023 di Puncak Rimba, Bentong, Pahang telah dibatalkan atas beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.

Pasangan ini dilaporkan akan mengadakan majlis pernikahan dan resepsi di Puncak Rimba, Bentong, Pahang.

Rakan-rakan artis dan jemputan yang menerima mesej pembatalan itu juga turut terkejut kerana majlis itu hanya akan berlangsung dalam masa seminggu sahaja lagi.

Majlis akad nikah pasangan itu sepatutnya diadakan pada sebelah pagi di lokasi berkenaan mengambil keberkatan Jumaat, penghulu segala hari sementara resepsinya pada sebelah malam berkonsepkan acara dalam taman.

Tetamu yang diundang perlu memenuhi tema majlis dengan kod berpakaian black tie, long suit atau evening dress.

Usaha mendapatkan kenyataan daripada Syafiq berhubung pengumuman itu tidak berjaya selepas aktor berkenaan tidak menjawab panggilan telefon.

Mimi pula turut memuat naik puisi berbahasa Inggeris tentang penghargaan terhadap wanita di Instagram miliknya.

Tanpa sebarang kapsyen dan hanya meletakkan tanda noktah, Mimi turut menutup ruangan komen pada hantaran tersebut.

Untuk rekod, pasangan ini pernah putus cinta pada Mei 2020 selepas lima tahun bersama namun hubungan mereka kembali bertaut apabila berkongsi gambar di media s0sial.

Dalam pada itu pelakon Nabil Aqil, individu yang mempunyai pertalian keluarga dengan Syafiq Kyle memaklumkan, pihaknya juga terkejut dengan berita itu.

Katanya, setakat ini tiada siapa pun tahu punca pembatalan majlis itu sebaliknya hanya keluarga terdekat sahaja yang lebih maklum mengenainya.

“Saya terkejut dan agak sedih, tiada siapa yang tahu punca melainkan hanya keluarga,” ujarnya ringkas.

Mimi dan Syafiq mengikat tali pertunangan pada Januari lalu.

Sumber:Mst4r