Pemergian tragis bayi 8 bulan di parkir kereta

Seorang bayi perempuan berusia 8 bulan, dipercayai anak kepada seorang doktor menemui ajal selepas mangsa tertinggal di dalam kereta lebih tujuh jam di parkir Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras semalam.

Perkara itu didedahkan seorang jururawat di Twitter yang menceritakan, bayi tersebut berada dalam kereta seorang diri dari pukul 7.30 pagi sehingga pukul 4 petang.

“Berita sedih petang ini (semalam). Seorang pegawai perubatan(MO) dekat hospital datang kerja pukul 7.30pagi.

“Pukul 4 petang baru sedar anak umur lapan bulan tertinggal dalam kereta dekat parkir staf,” kongsinya dalam satu ciapan.

Dengan keadaan yang sudah membiru, mereka cuba melakukan segala usaha untuk menyelamatkan, namun begitu Allah lebih menyayangi si kecil tersebut.

“Bayi dah biru. Bawa ke kecemasan, CPR (proses bantuan pernafasan) semua. Bayi memang dah meninggal. Allahuakhbar,” luahnya sedih.

Difahamkan, keadaan cuaca di tempat kejadian semalam panas terik dan hujan hanya turun pada sebelah petang.

“Hari ini (semalam) panas betul. Petang baru hujan. Kita pun peluh teruk jalan tengah panas. Ini kan pula dalam kereta bahang lagi.

“Semoga doktor tabah dan reda dengan ujian ini,” ujarnya lagi.

Perkongsian wanita tersebut mengundang ramai pengguna Twitter mendoakan agar keluarga bayi terbabit tenang menghadapi pemergian anak syurga itu.

“Beratnya perasaan bila dengar, Allahu. Innalilah salam takziah. Tolong la bagi doktor tu sokongan moral dan doakan mental health (kesih.atan mental) dia okey. Ini ujian yang tak semua orang boleh hadap,” kata Januar Haikal.

Difahamkan sebelum kejadian, ibu mangsa tiba di h0spital itu untuk bekerja dan tidak menyedari dia meninggalkan bayinya didalam kereta.

Doktor berkenaan dikatakan hanya mencari anaknya selepas menerima panggil telefon daripada suaminya pukul 5.30 petang menyatakan anak mereka tiada di taska.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pegawai perubatan HCTM Cheras menerima laporan pada 5.53 petang berkaitan kanak-kanak perempuan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat letak kenderaan hospital itu.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia pada hari sama.

“Hasil siasatan awal mendapati, pada 7.20 pagi, ibu mangsa meletakkan mangsa di bahagian belakang tempat duduk penumpang sebelah kiri di dalam keretanya untuk dihantar ke taska.

“Bagaimanapun, ibu mangsa terus memandu keretanya ke tempat kerja dengan anggapan bayi itu sudah dihantar ke taska,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Zam, ibu mangsa hanya menyedari mangsa masih berada di dalam keretanya pada petang hari sama selepas dimaklumkan oleh suaminya bahawa mangsa tidak dihantar ke taska.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak,” kata beliau.

Sumber:BH