Harta pusaka ialah harta yang ditinggalkan oleh seseorang yang sudah meniggal dunia dan boleh diwarisi ahli keluarganya serta yang lain.
Harta pusaka terbahagi kepada dua bahagian, iait harta alih dan harta tidak alih .
Harta Alih ialah harta yang boleh dipindah atau diubah dari tempat asalnya seperti wang tunai, akaun simpanan bank, saham, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), insurans, peralatan rumah, barang kemas dan sebagainya.
Manakala Harta Tak Alih ialah harta yang tidak boleh dipindah dan diubah dari tempat asalnya seperti tanah, rumah, dan bangunan.
Harta peninggalan simati yang menjadi harta pusaka termasuk :
– diperolehi sewaktu hidup seperti hasil jual beli, mendapat pusaka, melalui hibah, hadiah, sedekah dan melalui wasiat.
– Sewaan yang belum dijelaskan kepada si mati
– Hutang kepada si mati yang di jelaskan selepas kematian
– Dividen /faedah yang terbit daripada harta si mati
– Barang atau nilaian yang terbit dari usaha si mati semasa hayatnya.
Harta peninggalan simati yang tidak termasuk menjadi harta pusaka :
– Harta yang telah diberi, dijual, diwakafkan dan yang dipegang amanah oleh si mati kepada
seseorang semasa hayatnya
– Khairat kematian
– Pemberian oleh orang-orang yang menziarahi kematian
– Pencen atau SOCSO
– Harta yang dipinjam.
Di dalam Islam, sebaik sahaja seseorang itu meninggal dunia hartanya automatik akan menjadi harta pusaka dan harta pusaka adalah tertakluk kepada hukum faraid.
Faraid maksudnya ketetapan dan ia adalah ilmu tentang kaedah pembahagian harta pusaka yang menetapkan siapakah waris yang layak dan berapakah bahagian yang diperolehi setiap seorang secara khusus.
Selain membahagikan harta pusaka mengikut bahagian yang telah ditetapkan dalam faraid, waris juga boleh membahagikan harta secara muafakat atau persetujuan. Kaedah ini dinamakan takharruj.
Dalil takharruj adalah di dalam Surah al-Nisa’ ayat 128:
فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَنْ يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا صُلْحًا ۚ وَالصُّلْحُ خَيْرٌ
Yang bermaksud: “maka tiadalah salah bagi mereka membuat perdamaian (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik.”
Sebelum melakukan takharruj iaitu melepaskan hak faraid secara sebahagian atau sepenuhnya, beberapa syarat mesti dipenuhi antaranya perlulah dipersetujui oleh semua waris yang lain dan waris-waris ini hendaklah terlebih dahulu mengetahui berapa bahagian faraid mereka yang sebenar sebelum melepaskan hak mereka.
Namun sekiranya waris-waris tidak sepakat dan tiada persetujuan yang dicapai, maka kaedah asal pembahagian secara faraid akan terpakai.
Dalam pembahagian harta pusaka tiada istilah majoriti. Tidak ada sesiapa yang boleh dipaksa untuk melepaskan bahagiannya di dalam faraid.
Kaedah pembahagian secara muafakat adalah yang terbaik jika dapat dilaksanakan tetapi sekiranya tiada persetujuan yang dicapai maka kaedah pembahagian secara faraid adalah jawapan dan penyelesaian terakhir kepada masalah yang menjadi pertikaian.
Masalah sering terjadi apabila kebanyakan waris tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang ilmu faraid.
Ada yang sepakat melantik abang atau kakak sulong sebagai pentadbir malah ada juga yang menggunakan kuasa ‘veto’ melantik dirinya sebagai pentadbir untuk tujuan tertentu.
Tanpa ilmu yang mencukupi, pentadbir ini membahagikan harta pusaka secara sesuka hati dan ada juga mengisytiharkan dirinya berhak ke atas semua harta pusaka selagi belum dibuat pembahagian.
Maka diharapkan selepas ini kesemua waris hendaklah lebih peka kepada hak masing-masing.
Sekiranya gagal mencapai kata sepakat, rujuklah kepada autoriti yang bertauliah
supaya tiada perkara berbangkit di kemudian hari.