Susulan penyatuan ‘Wan Ismail Golok’ dan ‘Lucy’, peminat mahu sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu dihidupkan semula. Ini jawapan Othman Hafsham

Sejak pernikahan Sabri Yunus dan Angelina Tan pada Sabtu lalu, tular di media s0sial potongan video pendek salah satu episod dari sitkom popular era 90an, Pi Mai Pi Mai Tang Tu (PMPMTT) yang memaparkan babak di mana Sabri dan Angeline Tan bercinta.

Rata-rata, netizen menganggap babak itu begitu ‘manis’ dan sesuai dengan situasi di mana, kedua-dua pelakon yang masing-masing membawa watak Wan Ismail Golok dan Lucy itu, kerana dari sekadar usik mengusik di layar skrin 30 tahun lalu, akhirnya mereka sah bergelar suami isteri.

Lantaran itu, ramai peminat sitkom itu berharap untuk menonton sambungan sitkom itu, mahupun versi ‘remake’ bagi mengubat kerinduan.

Bagaimanapun pengarah PMPMTT, Othman Hafsham berkata, hasrat peminat mungkin tidak akan kesampaian atas beberapa faktor.

Yang paling utama, sukar untuk beliau menghasilkan semula sitkom popular itu kerana ramai bintang utamanya sudah meniggal dunia.

“Ramai barisan pelakon PMPMTT yang sudah kembali ke Rahmatullah, terutamanya, watak-watak penting. Mereka inilah yang membuatkan PMPMTT menjadi sesuatu seperti yang kita kenal sehingga ke hari ini.

“Jadi, sukar untuk saya mengembalikan semula sitkom itu seperti mana, prestasinya seperti suatu ketika dahulu. Saya pun tak pasti, sama ada masih ada stesen TV yang mahukannya atau tidak,” katanya lagi.

Ditanya mengenai versi ‘remake’, Othman berkata, ada beberapa faktor yang perlu ditimbang tara, sesuai dengan peredaran zaman.

“Ada yang bertanya, kenapa tak hasilkan ‘remake’ untuk PMPMTT. Saya rasa, salah satu kesukaran adalah cara kerja di mana, cara kerja produksi zaman sekarang jauh berbeza dengan cara kerja saya.

“Apa yang saya hasilkan pada ketika itu, memerlukan banyak kerja. Saya tak rasa, ada pelakon sekarang yang begitu berminat untuk bekerja dalam satu sitkom dengan kerja yang banyak contohnya latihan yang sangat banyak.

“Kedua adalah mengenai sudut bayaran. Kalau ingin dihasilkan versi hari ini, bayarannya perlulah setimpal dengan zaman sekarang. Jadi, perkara itu juga mungkin menjadi sesuatu yang rumit dalam ekonomi sekarang.

“Saya bernasib baik pada ketika itu kerana dapat bekerjasama dengan barisan pelakon yang berdedikasi, kreatif serta bertanggungjawab. Mereka minat dengan cara kerja saya dalam menghasilkan PMPMTT,” katanya.

PMPMTT menjadi sitkom popular di Malaysia dan ditayangkan di TV3 sejak tahun 1983 hingga 2004, merangkumi 1,210 episod dalam 17 musim.

Selain Sabri Yunus dan Angelina Tan, PMPMTT turut dibintangi oleh Imuda, Khatijah Tan, Sulaiman Yasin, Sathiya, Marlia Musa, Allahyarham Ahmad Busu, Allahyarham Zami Ismail dan Allahyarham Muhammad Abdullah.

Sumber:BH