Tiada istilah suami tanggung dosa isteri, sendiri buat sendiri tanggung!

SERINGKALI kita dimomokkan dengan fahaman, selepas berkahwin, dosa isteri akan ditanggung oleh suami.

Benarkah begitu? Bagaimana menurut perspektif Islam?

Sebelum menjawab soalan ini, perlu DITEGASKAN bahawa lelaki merupakan pemimpin dan pengawal kepada kaum hawa.

Firman ALLAH SWT: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan.” (Surah al-Nisa’: 34)

Berdasarkan ayat ini, kaum lelaki (suami) wajib menyuruh wanita (isteri) menunaikan hak-hak ALLAH dan menghalang mereka daripada melakukan perkara maksiat.

Namun, bagaimana jika isteri terus melakukan maksiat walaupun sudah ditegur suaminya? Jika isteri masih berkelakuan begitu meskipun sudah ditegur atau isteri melakukan maksiat di belakang suami, maka isteri itu tetap berdosa.

Suami tidak menanggung dosa-dosa tersebut.

Setiap insan mukallaf akan menanggung dosanya sendiri di hadapan ALLAH SWT apabila tiba hari pengadilan.

Seseorang itu sama sekali tidak menanggung dosa orang lain apabila dia telah melaksanakan tanggungjawabnya dengan sebaiknya.

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا

al-An’am:164

Maksudnya: “Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya.”

Imam al-Hafiz Ibn Kathir mengatakan ketika menafsirkan ayat ini bahawa ayat ini menceritakan perihal hari Kiamat ketika berlakunya pembalasan, hukuman dan pengadilan daripada Allah SWT. Selain itu, setiap jiwa itu akan diberi ganjaran berdasarkan setiap amalannya.

Jika baik amalannya, maka baiklah pembalasannya. Dan jika buruk amalannya, maka buruklah pembalasannya. Ini kerana, setiap jiwa (manusia) itu tidak akan memikul kesalahan (dosa) orang lain.

Hal ini membuktikan akan keadilan Allah SWT sepertimana firman Allah SWT: [Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 383-384/3]

وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ ۚ وَإِن تَدْعُ مُثْقَلَةٌ إِلَىٰ حِمْلِهَا لَا يُحْمَلْ مِنْهُ شَيْءٌ وَلَوْ كَانَ ذَا قُرْبَىٰ

Fatir:18

Maksudnya: “Dan (ketahuilah) bahawa seorang pemikul itu tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain dan jika berat tanggungannya (dengan dosa), lalu memanggil (orang lain) untuk menolong agar dipikul sama bebanan tersebut, maka tidak akan dapat dipikul sedikitpun daripadanya walaupun orang yang meminta pertolongannya itu daripada kaum kerabatnya sendiri.”

Semoga ALLAH mengurniakan kita isteri solehah atau suami soleh serta menjadikan keluarga yang terbina itu penuh sakinah, rahmah dan mawaddah.

Sumber: Irsyad al-Fatwa Siri ke-220: Suami Menanggung Dosa Isteri, Portal Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan