“Tak mungkin.Tindakannya melukakan ibu saya”- Along Cham

PELAWAK dan pelakon, Along Cham merasakan mustahil buatnya untuk kembali menikahi bekas isteri, Zila Seeron.

Mengakui ada beberapa saranan agar dia memaafkan dan menerima kembali Zila atau nama sebenarnya Nur Azilah Seeron, namun selepas apa yang berlaku, Along merasakan sukar untuk berbuat demikian.

“Kalau difikirkan anak, jawapan saya tidak mustahil. Tapi selepas apa yang berlaku antara kami sebelum ini dan tindakannya melukakan ibu saya, jawapan saya tak mungkin.

“Tidak dinafikan ada yang sarankan dan suruh saya kembali berkahwin semula dengan dia, tapi saya tanya kembali, kalau isterinya buat perkara sama, adakah dia boleh menerima kembali? Rakan saya juga jawab tidak,” jelasnya.

Mengakui peristiwa hitam yang berlaku tiga tahun lalu bagai satu tamparan besar buatnya, Along atau nama sebenarnya Muhammad Nizamuddin Ahmad bagaimanapun menganggap ia juga sebagai satu teguran daripada ALLAH SWT.

Along bagaimanapu mengakui tidak fobia untuk kembali mendirikan rumah tangga. Pun begitu,buat masa ini fokusnya lebih terarah kepada anak lelaki tunggal, Ahmad Danial, 8, dan kerjayanya.

“Bagi saya mencari pengganti itu bukan mudah kerana perkara utama yang saya titik beratkan adalah wanita itu nanti boleh menerima anak saya.

“Saya tak mahulah bila dah berkahwin, anak tinggal dengan ibu saya, sementara saya dan isteri hidup berdua ke sana sini,” katanya.

Along sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi, Zila Seeron pada 2010 namun bercerai enam tahun selepas itu.

 

 

Ditanya perkembangan dan penerimaan anak terhadap penceraiannya mereka, Along berkata, Danial dapat memahami.

Tambahnya buat masa ini Danial tinggal bersama ibunya di Johor dan bersekolah di sebuah madrasah.

“Anak ok Alhamdulillah, sebelum ini saya masukkan dia ke international school, tapi saya terlepas pandang bab agama.

“Jadi saya masukkan dia ke sebuah madrasah dan alhamdulillah, dia nampak gembira dan perkembangan juga positif,” jelasnya.

Along berkata, dia juga tidak pernah menghalang Zila untuk bertemu Danial mengikut perjanjian yang sudah ditetapkan.

“Pintu rumah ibu saya sentiasa terbuka jika dia mahu datang bertemu Danial, cuma buat masa ini saya tidak benarkan dia bawa Danial keluar.

“Danial pula sejak masuk madrasah, ada juga dia menegur mamanya sekiranya Zila datang tidak memakai tudung.

“Tapi saya ada juga nasihatkan Danial agar tidak menegur sehingga menguris hati ibunya itu.

“Saya harap kalau orang lain tak dapat tegur dia (Zila), anaknya sendiri akan dapat menarik dia ke arah kehidupan yang lebih baik,” ujarnya.

 

 

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DTK

Sumber: sinarharian