Cara melakukan sujud sahwi apabila terlupa doa Qunut atau bilangan rakaat

Sememangnya manusia itu bersifat lemah dan pelupa, maka kita tidak hairanlah di dalam solat contohnya adakala kita terlupa dengan bilangan rakaat ataupun kita terlupa membaca doa qunut ketika solat Subuh.

Dan penyelesaian bagi kedua-dua masalah ini ialah dengan sujud sahwi. Sujud sahwi adalah cara untuk menutup kekurangan dalam solat fardhu.

HUKUM SUJUD SAHWI

Sahwi bererti lupa. Menurut Imam merangkap Penolong Pengarah Pembinaan Sakhsiah Masjid Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Mohd Zuhairee Mohd Yatim, sesuai dengan namanya, sujud sahwi ini dilakukan adalah untuk menampung beberapa jenis kesalahan yang dibuat ketika solat akibat lalai atau terlupa.

Antara kesalahannya adalah terlupa melakukan salah satu sunat ab’adh, iaitu tahiyat awal dan doa qunut.

Hal ini adalah berdasarkan hadis daripada al-Mughirah bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang kamu berdiri sesudah dua rakaat tetapi ia belum sampai sempurna berdiri, maka hendaklah ia duduk kembali (untuk tasyahud pertama) tetapi jika ia sudah berdiri dengan sempurna, maka jangan ia duduk kembali dan hendaklah ia sujud dua kali (Sujud Sahwi)”. (Riwayat Ahmad)

Selain itu, ia juga dianjurkan sekiranya kita berasa ragu-ragu terhadap bilangan rakaat. Dari Abu Sa’id al-Khudri RA, di mana Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِـيْ صَلاَتِهِ فَلَمْ يَدْرِ كَمْ صَلَّى؟ ثَلاَثًا أَوْ أَرْبَعًـا؟ فَلْيَطْرَحِ الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَـا اسْتَيْقَنَ ثُمَّ يَسْجُدُ سَجْدَتَيْنِ قَبْلَ أَنْ يُسَلِّمَ. فَإِنْ كَـانَ صَلَّى خَمْسًا شَفِعْنَ لَهُ صَلاَتُهُ، وَإِنْ كَانَ صَلَّى إِتْمَامًا ِلأَرْبَعٍ كَانَتَا تَرْغِيْمًا لِلشَّيْطَانِ.

“Jika salah seorang di antara kamu ragu dalam solatnya sehingga dia tidak tahu berapa rakaat yang telah dia lakukan, tiga rakaat atau empat rakaat.

Maka hendaklah ia tepis keraguan itu dan ikutilah yang dia yakini. Setelah itu, hendaklah dia sujud dua kali sebelum salam. Jika ternyata dia mengerjakan lima rakaat, maka dia telah melengkapkan solatnya.

Namun, jika dia mengerjakan empat rakaat, maka dua sujud tadi adalah penghinaan bagi syaitan.” (Hadis Riwayat Muslim, Abu Dawud, An-Nasa’i RA)

Sujud sahwi hukumnya adalah sunat. Ini bermakna, tidaklah batal solat seseorang jika tidak dilakukan.

CARA SUJUD SAHWI YANG LENGKAP

Walaupun hukumnya sunat, eloklah kita melakukannya apabila perlu. Ini kerana, cara sujud sahwi sebenarnya amat mudah, iaitu seperti berikut:

1) NIAT

Sujud sahwi perlu diniat terlebih dahulu pada penghujung rakaat terakhir. Sesudah tahiyat akhir, sebelum memberi salam, takbir dan sujud dengan lafaz sujud sahwi. (Menurut kuliah Ustaz Don Daniyal, jika kita sudah berniat mahu melakukan sujud sahwi, duduk tahiyat akhir seeloknya dalam keadaan duduk antara dua sujud.)

2) SUJUD

Lafaz ini dibacakan 3 kali dalam sujud sahwi:

سُبْحَانَ مَنْ لاَ يَنَامُ وَلاَيَسْهُوْ

(Subhana Man Laa Yanaamu Walaa YasHuu )Maksudnya: Maha suci Allah, zat yang tidak pernah tidur dan tidak pernah lupa

3) DUDUK ANTARA DUA SUJUD

Selepas membaca lafaz tersebut, bangun daripada sujud dan duduk dalam posisi di antara dua sujud, sama seperti yang biasa kita lakukan dalam solat. Bacaan juga sama seperti duduk antara dua sujud.

4) SUJUD SEKALI LAGI

Sesudah itu duduk kembali pada posisi duduk di antara dua sujud dan lakukan sujud sahwi sekali lagi. Kemudian duduk dalam keadaan tahiyat akhir dan beri salam seperti biasa (tak perlu mengulang bacaan tahiyat akhir sekali lagi).

BAGAIMANA KALAU TERTINGGAL PERBUATAN YANG TERMASUK DALAM RUKUN SOLAT?

Setakat ini, kita dijelaskan bahawa kita digalakkan melakukan sujud sahwi apabila kita terlupa sesuatu perbuatan sunat ab’adh, iaitu doa qunut atau tahiyat awal yang tidak termasuk dalam 13 rukun solat.

Jadi, apakah yang sepatutnya kita lakukan jika kita terlupa melakukan perkara yang termasuk dalam rukun (contohnya membaca al-fatihah atau rukuk)?

Kita tidak boleh menggantikan perkara yang tertinggal tadi dengan sujud sahwi semata-mata.

Contohnya, kita terlupa membaca al-fatihah pada rakaat ketiga dalam solat maghrib. Maka, kita perlu membaca al-fatihah yang tertinggal tadi dengan cara mengulang rakaat ketiga secara keseluruhannya (kerana rakaat ketiga tadi tidak dikira sempurna). Sebelum mengakhiri solat, barulah kita melakukan sujud sahwi.

HIKMAH SUJUD SAHWI

Sujud sahwi sangat dituntut untuk membaiki solat kita yang cela. Allah yang Maha Penyayang masih boleh menerima ibadah kita walaupun ada cacat celanya.
(Sayangnya Allah pada hambaNya!)

Segala amalan yang dituntut dalam Islam pasti ada hikmahnya. Dalam perihal sujud sahwi, kita sebagai hamba banyak kekurangannya.

Maka, Rasulullah SAW mengajar kita cara sujud sahwi sebagai salah satu cara menutup kekurangan kita.

Lihatlah betapa pengasihnya Allah kepada kita. Dengan segala kekurangan kita dalam melakukan ibadah, Allah tetap memberikan jalan untuk menampung kekurangan tersebut. Semoga kita dapat bersama-sama memperbaiki kualiti ibadah kita agar diterima oleh Allah SWT

 

 

 

 

Sumber : majalahperdana