Influencer persenda gelang pink kuarantin Covid19, Ismail Sabri serah pada polis

Gurau tak kena tempat.

Perbuatan seorang ‘influencer’ yang mempersendakan gelang merah jambu kuarantin Covid 19 menarik perhatian Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada sidang media petang Selasa.

Menurut Ismail Sabri, mana-mana individu yang mempersendakan gelang pink yang diketahui umum hanya untuk mereka yang menjalani kuarantin adalah dianggap sebagai satu kes4lahan kerana menipu orang ramai.

“Kalau dia tu betul-betul dikuarantin, keluar dengan pakai gelang tentu saja dia akan dikenakan tindakan.

“Kalau dia tidak dikenakan kuarantin, tapi pakai gelang, dia juga menipu menggunakan bahan atau peralatan daripada Kementerian Kesihatan untuk tindakan tertentu bertujuan tertentu dan tujuan dia adalah menipu orang ramai. Dia pun salah melakukan perkara tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai terdapat individu-individu termasuk influencer yang mempersendakan gelang merah jambu atau tag kuarantin, dengan tujuan untuk membuat gurauan atau prank kepada orang awam.


Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan berhubung perkara tersebut.

“Terserah kepada polis untuk ambil tindakan.

“Saya harap kita perlu bertanggungjawab. Jangan kita menjadikan ini sebagai bahan mainan atau ketawa. Ini melibatkan isu nyawa, isu yang besar.

“Jadi, jangan menganggap ini perkara yang boleh dibuat lawak, dimain-mainkan kerana kesannya adalah amat besar,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memberi peringatan kepada semua pihak supaya melihat p4ndemik C0vid-19 sebagai perkara yang serius dan bukannya sesuatu yang boleh dijadikan bahan gurauan.

 

 

 

 

 

 

 

Sumber:mstar