Subuh masuk lewat, rebutlah peluang untuk solat tahajjud. Dua rakaat pun jadilah!

Solat Tahajjud adalah solat malam yang dilaksanakan setelah bangun tidur. Solat ini lebih afdal dibuat secara bersendirian waktu selepas tengah malam.

Solat ini ialah sunat muakkad iaitu amalan yang amat dituntut dan sangat digalakkan sebagai ibadah tambahan. Rasulullah SAW dan para sahabat tidak meniggalkan solat ini sepanjang hayat mereka.

Solat sunat tahajjud boleh dikerjakan sebanyak dua, empat, enam, lapan dan dua belas rakaat. — tetapi ia boleh dilakukan sebanyak mungkin mengikut kemampuan anda.

Tetapi apa yang lebih penting, sebolehnya ia dilakukan secara istiqamah setiap malam walaupun hanya dilakukan 2 rakaat sahaja.

Memandangkan waktu Subuh sekarang agak lewat (ketika artikel ini ditulis, iaitu pukul 6.18 pagi- waktu Kuala Lumpur),maka jika kita tersedar pukul 6 sekalipun, kita masih sempat melakukan solat tahajjud sekurangnya dua rakaat, dan diakhiri dengan 3 atau 1 rakaat solat witir (kecuali jika telah witir sebelum tidur – tidak perlu witir lagi kerana Nabi sebut tiada dua witir dalam satu malam)

Perlaksanaan cara solat tahajjud ini adalah sama seperti solat-solat sunat yang lain.

Bacaan surah dalam solat juga tidak ditentukan. Oleh itu, bolehlah dibaca mana-mana surah yang disukai.

Berikut ialah catitan yang diambil dari Dr. Zaharuddin Abd Rahman yang berk0ngsi tentang keajaiban solat Tahajud yang mampu mendekatkan diri kita kepada pencipta.

Waktu solat Tahajud bermula selepas Isyak, kemudian tidur dan mujahadah bangun sebelum subuh untuk solat menurut majoriti ulama berdasar athar sahabat nabi bernama Hajjaj Bin al- Amru yang hasan sanadnya menurut Ibn Hajar dalam Talkhis al-Habir.

Tamat waktunya adalah ketika masuk waktu Subuh atau fajar sebagaimana hadis:

إن الله أمدكم بصلاة هي خير لكم من حمر النعم ، وهي الوتر فجعلها الله لكم فيما بين العشاء إلى طلوع الفجر

Ertinya: Sesungguhnya Allah mengurniakan bagimu solat yang lebih baik dari unta merah (barang paling berharga di dunia) iaitulah solat witir dan dijadikan baginya waktu selepas solat Isyak sehingga naik Fajar. (Riwayat Abu Daud & Tirmidzi)

AMBIL PELUANG

Justeru, ambillah peluang mendirikan solat Tahajud yang ditutup dengan witir sebagai mujahadah diri dan jiwa. Allah swt menjanjikan kemulian kedudukan (di akhiirat) bagi mereka yang melaziminya.

Yang penting, jangan niat solat Tahajud untuk kononnya muka bercahayalah, putih, untuk kaya dan lain-lain sebab dunia, jadikan ia khas untuk menghampirkan diri kepada Allah swt & redaanNya. Insha Allah.

JANGAN juga rasa rendah diri jika hanya mampu melaksanakan DUA rakaat Tahajud sahaja, asalkan ia konsisten kerana ibadah yang konsisten lebih dicintai Allah SWT berbanding yang banyak tetapi terputus.

Solat Tahajud dua rakaat yang tidak melahirkan bongkak dan ujub JAUH LEBIH MULIA dari berbelas rakaat tetapi ujbb, b0ngkak dan memandang rendah ibadah orang lain.

Tip memudahkan bangun solat malam:

*Sebelum masuk tidur, berniat ingin melakukan Solat Tahajud.
*Menjauhkan diri daripada perbuatan maksiiat.
*Bersederhana makan dan minum pada waktu siang.
*Membaca ayat-ayat al-Quran.

 

Mulakan dari sekarang, dan rasakan kemanisannya ‘bertemu’ dengan Sang Pencipta. Wallahua’lam. 

 

 

 

 

Sumber: Dr. Zaharuddin Abd Rahman via Kash00rga