Mas kahwin senaskah Al-Quran, berikut ialah foto-foto menarik sekitar majlis pernikahan Zizi Kirana dan Yusuf Bahrin

Seperti yang telah diketahui umum,dengan sekali lafaz, penyanyi lagu Eh Zizi Kirana atau nama sebenar Nur Fazelah @ Zizie Mad Tahil, 36, sah bergelar isteri kepada aktor Yusuf Bahrin, 29, kira-kira pukul 10.40 pagi tadi di Masjid Usamah Bin Zaid, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Pasangan itu dinikahkan oleh Imam Masjid Usamah Bin Zaid, Murshidi Abd Hamid berwakil walikan bapa Zizi sendiri, Mad Tahil.

Menerima senaskah Al-Quran sebagai mas kahwin, Zizi juga turut menerima sebentuk cincin dan seutas gelang tangan, sementara wang hantaran pula dirah-siakan.

“Alhamdulillah syukur semuanya berjalan lancar… kalau nak tahu hari Jumaat lepas baru kami dapat tarikh dan lokasi nikah.

“Semuanya dilakukan saat-saat akhir! Syukur pernikahan kami ini dipermudahkan… doakan semoga perkahwinan ini diberkati dan kekal sampai ke Jannah.

“InsyaAllah kami merancang untuk mengadakan dua majlis resepsi iaitu di Sabah dan kampung halaman Yusuf di Melaka pada Disember depan,” kata Zizi yang mengenakan persalinan hitam klasik rekaan Shanell Harun dan disolek oleh Datuk Alha Alfa.

Ditanya mengenai cahaya mata, Zizi mengaku dirinya dan suami sudah bersedia menggalas tugas sebagai ibu bapa.

“Kalau ada rezeki anak, kami terima seadanya. Kalau ada dua anak pun dah cukup!

“Tiada perancangan bulan madu sebab Isnin ini saya dah bekerja macam biasa… cuma kita ada rancang untuk tunaikan umrah bersama selepas sempadan negara dibuka,” katanya.

Selepas berkenalan ketika rakaman program All Together Now Malaysia (ATNMY) awal tahun ini pasangan ini mula serius mengenali hati budi masing-masing kira-kira dua bulan lalu sebelum mengambil keputusan meneruskan fasa hubungan ke alam perkahwinan.

Jom kita saksikan antara momen manis penyatuan Zizi Kirana dan Yusuf Bahrin.

 

 

 

 

 

Sumber: Wilayah ku