“Saya dulu selalu kena halau dengan papa”- Tak minat berlakon, namun anak warisi bakat memasak Kuswadinata

“Arwah papa saya, walaupun orangnya serius dan banyak melakonkan watak ‘jahat’ dalam filem serta drama, tapi dia seorang lelaki dan bapa yang budiman, baik hati, ringan tulang, pandai memasak dan cekap menjaga anak-anak dalam semua sudut”, itu antara yang dikongsi oleh seorang wanita, Jasmin Kuswadi, 37, anak kepada pelakon era 1960-an, Allahyarham Kuswadinata.

Kongsi Jasmin lagi, sama ada pakaian, makanan dan segalanya akan diuruskan oleh pelakon lagenda itu sehingga ada yang menyifatkan ibunya, Kamariah Mohd Said adalah wanita sangat bertuah kerana mempunyai suami yang mahir membuat kerja rumah dan cekap menjaga anak.

Jasmin yang terbuka berkongsi kenangan bersama Allahyarham bapanya berkata, walaupun bapanya antara pelakon terkenal di zaman studio Jalan Ampas, dia bersama adik-beradiknya yang lain ,tiada seorang pun menunjukkan minat dalam lakonan tetapi kesemua mereka mewarisi bakat memasak Allahyarham Kuswadinata.

“Saya dulu selalu kena halau dengan arwah papa, apabila masuk ke dapur nak tengok dia memasak,” imbas Jasmin ketika ditanya kenangan bersama arwah bapanya.

“Alhamdulillah, sungguhpun begitu, saya dan semua adik-beradik, kami pandai memasak. Untuk berlakon pula, memang tak ada yang mewarisi walaupun saya pernah ikut papa berlakon dalam telefilem Erti Sebuah Kebebasan ketika berusia 15 tahun.

Saya tak minat berlakon sebab tidak gemar menunggu di set penggambaran.

Arwah papa pun tak beri galakan kepada kami adik-beradik untuk mengikut jejak langkahnya sebagai pelakon. Tapi, alhamdulillah, saya ikut jejak langkah papa sebagai tukang masak,” katanya.

Jasmin bersama suami, Mohd Osman Amirrudin aktif berniaga pelbagai makanan seperti roti canai, roti sarang burung extravaganza dan makanan barat, hasil air tangan mereka sendiri sejak dua tahun lalu.

Selain itu, antara menu yang paling istimewa ialah dia turut menyediakan resipi hidangan arwah bapanya seperti sambal, kuah dal, kari ayam, kari daging dan banyak lagi dengan harga sangat berpatutan serta rasa yang enak.

Terdahulu, Allahyarham Kuswadinata atau nama sebenarnya Kuswadi Bujang cukup dikenali dengan panggilan ‘abang Kus’ menerusi filem Seniman Bujang Lapok meniggal dunia pada 16 Februari 2013 ketika berusia 74 tahun kerana mas4lah buah pinggang dan k4nser usus.

 

 

 

 

Sumber:BH