Usia bukan penghalang demi gapai segulung ijazah

Kepentingan menuntut ilmu tiada terhadnya kepada pelbagai lapisan usia mahupun latar belakang seeorang individu.

Lantaran itu, bintang rock terkenal,Datuk Awie cuba menyampaikan mesej tersebut menerusi watak Jaafar dalam drama bersiri terbaru di Astro, berjudul‘Kids Nowdays’.

Drama terbitan pasangan suami isteri, Datuk Rosyam Nor dan Datin Runika Mohd Yusof di bawah rumah produksi Suhan Movies ini berpaksikan semangat dan harapan bukan sahaja kepada generasi muda tetapi juga warga tua yang ingin mencapai impian untuk berjaya.

Selain Datuk Awie, ‘Kids Nowadays’ yang diarahkan sutradara Ejump Mohammad turut didukung barisan pelakon berbakat seperti Marissa Yasmin, Hasnul Rahmat, Wan Sharmila, Alvin Chong, Wanna Ali dan Nafiez Zaidi.

Menurut Ejump, belajar itu bukanlah sesuatu yang mempunyai tarikh luput dan semua berhak menimba ilmu, tidak kira pada usia berapa pun.

“Walaupun sudah tua, anda masih berhak mengejar impian untuk menggenggam segulung ijazah. Memang jarang sekali kita memperlihat drama yang fokusnya ke arah pendidikan untuk orang warga tua.

“Tapi, itulah yang saya ingin gambarkan dalam ‘Kids Nowadays’ dan pengambilan Datuk Awie sebagai ‘warga tua’ dan watak utama dalam drama ini merupakan sesuatu yang sangat sempurna.

“Dia mempunyai ‘star value’ yang mengejutkan kami semua dengan membawakan watak yang belum pernah ditunjukkan lagi sebelum ini.

“Saya sendiri teruja dengan Datuk Awie yang kita semua lihat dari kecil lagi. Penonton pasti akan terhibur dengan lakonannya yang lucu tetapi kena,” katanya.

 

 

Menurut Ejump lagi, dia turut menggabungkan Datuk Awie dengan pelakon-pelakon generasi baharu buat pertama kalinya.

“Keserasian antara dia dan Alvin Chong memang hebat. Kerjasama yang mereka berikan membuatkan saya puas hati dengan hasil cerita ini.

“Saya tidak pernah terfikir akan mengarah Datuk Awie. Dia sangat membantu dalam babak-babak pergad-uhan,” katanya.

Namun, Ejump turut berhadapan dengan cabaran tertentu sewaktu mengarahkan drama bersiri, ‘Kids Nowadays’ ini.

“Cabaran utama yang saya hadapi adalah dari sudut penceritaannya sendiri. Susahnya drama ini kerana ia bukan a love story ataupun cerita-cerita cinta Melayu yang biasa.

“Ini tentang orang tua yang ingin belajar di universiti. Itu adalah cabaran saya kerana perlu idea-idea yang kreatif untuk menghasilkan gambaran yang boleh menarik minat orang ramai untuk menonton.

“Kalau kita bawa cerita yang lain daripada apa yang orang selalu tonton, kita perlu jadi lebih kreatif untuk membuatkan cerita itu menyerlah. Jadi apabila saya perlu mencari idea baharu untuk menarik audiens ke drama ini, memang susah.

“Saya berharap penonton akan terhibur dengan penceritaan yang ingin disampaikan dan pada masa yang sama dapat membuka mata mereka yang mempunyai impian yang sama untuk belajar tetapi malu kerana faktor usia.

“Penonton juga akan melihat pelbagai isu yang diketengahkan. Dalam kita berhibur, ada terselit beberapa pengajaran dan moral yang berguna untuk semua,” katanya.

Penceritaan drama bersiri 20 episod ini mengisahkan Jaafar, seorang bapa dalam lingkungan 50-an yang bercita-cita untuk mendapatkan segulung ijazah.

Perjalanan Jaafar sebagai seorang pelajar universiti yang berusia dipenuhi dengan pelbagai kerenah dan cabaran apabila dia berkenalan dengan rakan yang sama fakulti dengannya, Farhan dan juga dua orang senior yang sering membuli, Eddy dan Syafiq.

Pertemuannya dengan Hanna, seorang pensyarah muda yang menaruh hati padanya mula dicemburui oleh Eddy. Namun di sebalik impian yang ingin dikejar, terdapat satu sebab yang membuatkan Jaafar terus bertahan.

‘Kids Nowadays’ mula ditayangkan di Astro Ria sejak 15 Ogos lalu, setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 11 malam.

 

 

 

Sumber:Get4ran