Tak sangka masih dikenali, Danny X-factor turun berat badan 15 kg sahut cabaran peminat

Terpanggil untuk menurunkan berat badan selepas menyedari ramai pihak terutama peminat masih mengenali dirinya yang aktif menggunakan aplikasi TikTok, penyanyi dan pelakon Danny dari kumpulan X-Factor berjaya menurunkan berat badan sebanyak 15 kilogram (kg) selepas mengamalkan gaya hidup sihat sejak Jun lalu.

Bagi yang belum mengetahui, X-factor merupakan sebuah kumpulan yang sangat p0pular era 90an sebaris dengan A to Z, Shades, Indigo dan ramai lagi.

Danny berkata,”Semuanya bermula ketika saya aktif di laman TikTok. Ketika memuat naik gambar di TikTok, saya tak sangka terima maklum balas positif dan masih ramai yang kenal saya.

“Tapi di sebalik komen positif itu, ada juga komen yang kurang enak apabila mereka mengatakan saya sudah tidak macam dulu. Jadi, saya tergerak hati untuk turunkan berat badan.

“Saya mula diet dan amalkan gaya hidup sihat. Saya tak tersinggung pun dengan komen sedemikian, malah saya anggap ia adalah satu teguran dan pembakar semangat untuk turunkan berat badan.

“Isteri pun seronok tengok saya sudah mula kurus kerana sebelum ini dia pernah tunjuk perbezaan wajah saya di foto perkahwinan kami dengan sekarang. Sangat berbeza,” katanya.

Menurut Danny, berat badannya sebelum ini pernah mencecah 92 kg namun selepas empat bulan mengamalkan rutin diet yang betul tanpa pengambilan sebarang suplemen kini berat badannya menurun ke 77 kg.

“Selain sekadar suka-suka nak turunkan berat badan, saya juga nak pastikan tubuh badan saya sihat.

Wajah tampan Danny ketika mula menyertai bidang seni

Antara amalan yang saya lakukan adalah ‘tolak’ gula dan mengawal pemakanan selain bersenam. Saya tidak mengambil sebarang suplemen walaupun ada produk yang menawarkannya.

“Saya akui penampilan sangat penting, lebih-lebih lagi untuk tujuan kerja. Ia sangat membantu apabila saya sudah mula mendapat tawaran.

Insya-Allah saya bakal terbabit dengan filem tapi nantilah saya kongsikan,” katanya.

 

 

 

 

Sumber:BH