Marissa Yasmin belum dapat kata sepakat

Marissa Yasmin bersama bapa saudaranya

Walaupun sudah berpisah pada tahun 2016, pelakon Marissa Yasmin, 45, masih belum menarik nafas lega apabila perjuangan mempertahankan hak selepas berdepan konflik bersama bekas suami masih belum menemui titik noktah.

Pada tahun 2020, mahkamah memutuskan dalam pembahagian harta sepencarian Marissa memperoleh rumah, pembahagian harta (kereta) dan hutang bekas suami, Muhzir Mohd Zainuddin, kepadanya perlu dibayar semula.

Bagaimanapun, pelakon drama Memori Cinta Suraya ini kecewa apabila Muhzir bertinda mengubah keputusan asal yang diputuskan pada 2020 dengan membuat rayuan.

“Benda ini selesai pada 2020 dan sepatutnya selepas mahkamah buat penghakiman, kena buat pelaksanaan. Saya naik turun mahkamah untuk kes harta sepencarian pun memakan masa lima hingga enam tahun.

“Bila dapat keputusan penghakiman, saya rasa lega sikit. Tiba-tiba dia nak buat rayuan minta kurangkan lagi.

“Bagi saya tak apa, nak buat macam mana lagi. Di pihak mahkamah pula memang ada platform untuk mereka buat rayuan,” katanya lagi.

Pembahagian rumah dalam nilai anggaran RM1 juta ini menyaksikan Marissa akan menerima 75 peratus haknya, manakala Muhzir sebanyak 25 peratus.

“Ada juga sejumlah wang yang dia berhutang dengan saya, dia kena bayar balik. Kami ada kereta dan ia jatuh harta sepencarian perlu kena bahagi. Ada tiga kereta dan masing-masing dapat bahagian seorang sedikit.

“Tapi yang itu saya pun tak tahu apa jadi dengan kereta. Cuma sekarang tunggu dokumen daripada pihaknya sebagai perayu dan dari situ saya akan tengok sama ada pendaftar mahkamah luluskan atau tidak.

“Satu perkara saja saya minta. Apa saja yang mereka nak kemukakan, tak boleh lain dari apa yang pernah kita bicarakan di mahkamah dulu. Saya nak selesaikan secepat mungkin dan tak nak ingat lagi. Masing-masing perlu gembira pada masa depan,” katanya.

Marissa atau nama sebenarnya Marissa Yasmin Mariam Yaakob bercerai talak satu dengan Muhzir yang juga Pengurus Jualan Teknologi Maklumat pada 14 Januari 2016.

Selepas bercerai, Muhzir bertindak mengemukakan empat saman terhadap Marrisa namun keputusan berpihak kepada Marissa apabila memenangi kes itu pada 2020.

Sumber:BH